Kenali Duta Besar Malaysia di Bosnia & Herzegovina



TYT Zakri Jaafar, Duta Besar Malaysia ke Bosnia & Herzegovina sewaktu berbincang dengan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato' Seri Idris Jusoh di Sarajevo City Centre pada 17 Ogos 2017.

Hubungan di antara Malaysia dan Bosnia & Herzegovina telah terjalin pada tahun 1992 lagi. Seperti yang umum mengetahui peranan kerajaan dan rakyat Malaysia dalam menyokong dan membantu Bosnia & Herzegovina yang sewaktu itu berhadapan dengan konflik dan peperangan yang menggegarkan benua Eropah. Kelantangan mantan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad dalam mengkritik sikap berat sebelah dunia terhadap konlfik tersebut telah melonjakkan nama Malaysia di bumi Balkan. Apatah lagi tentera pengaman Malaysia turut di hantar ke sana demi melindungi rakyat Bosnia & Herzegovina yang tidak berdosa.

Tentera Malaysia menunjukkan angka baki untuk menamatkan operasi di Bosnia & Herzegovina

Kedutaan Malaysia akhirnya dibuka pada tahun 1996 di ibu kota Bosnia, Sarajevo. Sewaktu itu, kedutaan beroperasi di Hotel Holiday Inn dan kemudiannya pada tahun 2006, kedutaan Malaysia bertapak di bangunan tiga tingkat yang terletak di Radnicka 4a. 

Semenjak kewujudan kedutaan Malaysia di Bosnia, banyak hubungan dan kerjasama di antara kedua-dua buah negara telah pun terjalin. Malaysia telah banyak menyumbang untuk pembangunan Bosnia sehingga ke hari ini.

BOSMAL siap dibina pada tahun 2001. Salah satu legasi Malaysia di bumi Bosnia

Adalah baik untuk rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke Bosnia & Herzegovina mengetahui sedikit sebanyak perihal Duta Besar kita iaitu TYT Zakri Jaafar. Beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaysia pada tahun 1992. Sebelum dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Bosnia dan Herzegovina, beliau merupakan Duta Besar Malaysia ke Jordan sejak tahun 2014. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Pembangunan dari tahun 2012 hingga 2014, Setiausaha Bahagian OIC, D8, Pertubuhan Khas dan Kerjasama Selatan-Selatan dari tahun 2011 hingga 2012 dan Setiausaha Bahagian Ekonomi Pelbagai Hala dan Alam Sekitar dari tahun 2010 hingga 2011. TYT Zakri Jaafar juga pernah bertugas sebagai Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun dari tahun 2007 hingga 2010 dan sebagai Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Santiago, Chile dari tahun 1995 hingga 1999. Penulis turut berkesempatan bertemu dengan TYT Zakri Jaafar. Orangnya begitu peramah dan mesra sekali. Setiap perancangan dan Idea yang dilontarkan pasti akan didengarinya dengan baik. 


Sumber:

- Kedutaan Malaysia di Bosnia & Herzegovina
- http://www.nato.int/sfor/nations/various/malaysia/heat/photo2heat.htm 










Comments